Prosedur mengambil anak angkat
Membuat keputusan mengambil anak angkat bukanlah suatu keputusan yang mudah dilakukan oleh mana-mana pasangan. Terlalu banyak perkara yang difikirkan, lebih-lebih lagi oleh orang kita, MELAYU. Banyak sangat pantang larang, sehingga akhirnya menutup segala jalan ke arah mengambil anak angkat. Antara 'ayat-ayat berbisa' yang mungkin dihadapi:
Orang lain : "Ish! buat apa ambik anak angkat? Ntah dari mana asal-usul keturunannya!"
Aku : "Jangan la difikir sangat asal-usul keturunan budak tu. Sedang keturunan kita sendiri belum tentu mulianya. Sedangkan golongan diraja pun ada yang asalnya lanun yang mengembara. Bayi yang baru lahir, ibarat kain putih. Tak ada tertulis siapa asal keturunannya..."
Orang lain : "Alah.. Leceh la, ambik anak angkat ni. Banyak nak kena keluar duit..."
Aku : "Mana ada guna duit banyak... Mengarut aje. Mohon dengan cara yang betul, melalui JKM, tak perlu keluar duit sesen pun. Yang pegi cari sindiket jual bayi tu buat apa?"
Orang lain : "Eh, ko tak takut ke nanti ada masalah muhrim bila anak tu dah besar? Ko nak kena jaga aurat kat dalam rumah... Berdosa!"
Aku : "Eh, tau pulak bercakap pasal aurat? Sebelum kau berat-berat kepala fikir pasal aurat dengan anak angkat, meh aku tanya sikit... Kau keluar rumah, jemur baju ada pakai tudung tak? Sepupu yang sama-sama membesar dengan kau datang ziarah ke rumah, ada pakai tudung tak? Yang pegi share gambar-gambar tak bertudung kat facebook tu, apa cerita? Yang ni jelas-jelas hukum dia, kenapa tak fikir pasal halal haram?"
Orang lain : "Buat apa susah-susah nak bela anak h***m?"
Aku : "Aku pantang betul orang sebut gelaran tu. Siapa kita nak jadikan anak yang suci tu, haram?"
Orang lain : "Toksah la nak ambik anak angkat... Kalau dia ada penyakit, kan ke menyusahkan ko nanti?"
Aku : "Tak payah lah fikir tentang anak berpenyakit. Sedangkan anak kandung pun boleh ditimpa sakit, sebagai ujian dari Allah. Kenapalah bila anak angkat yang sakit, kita mengeluh?"
Sebenarnya, aku sendiri pernah dilemparkan dengan ayat-ayat tersebut di atas, samada berdepan atau secara berlapik. Soalan dilempar bukan sahaja dari kalangan keluarga, rakan taulan dan juga sanak saudara. Jawapan yang kuberi di atas hanyalah jawapan yang ku lemparkan kembali di dalam hati. Tidak kulontarkan terus kepada yang bertanya, kerana hendak menjaga silaturrahim dan air muka mereka. Kadangkala, ku jawab juga jika mereka menghina.
Alhamdulillah, Allah telah kuatkan semangatku dan suami untuk meneruskan hasrat kami. Kami telah mengisi borang permohonan anak pelihara di JKM Selangor, dan berserah kepada Allah. Pegawai di JKM tersebut ada mengatakan yang harapan kami tipis untuk mendapat anak pelihara kerana masih baru berkahwin. Untuk makluman, untuk tempoh dua tahun pertama, anak tersebut akan menjadi anak pelihara. Lepas tempoh dua tahun, kalau kita masih mahu terus memelihara anak tersebut, hendaklah memohon untuk dijadikan anak angkat. Status anak pelihara dan anak angkat adalah berbeza. Selagi berstatus anak pelihara, mama dan daddy masih belum sah menjadi ibu dan bapa. Setelah berstatus anak angkat, barulah mama dan daddy sah menjadi ibu dan bapa, sekaligus melayakkan anak angkat mendapat kelebihan seperti anak kandung. Cthnya, faedah perubatan bagi kakitangan kerajaan, menjadi waris untuk pembelian premium insuran dan lain-lain lagi.
Walaupun kami diberitahu tentang peluang kami yang tipis, kami cuma mampu berdoa, dan berserah kepada Allah. Kami disuruh menunggu untuk tempoh setahun barulah akan mendapat anak pelihara. Tapi, Allah Maha Mengetahui, selepas enam bulan sahaja, aku telah dihubungi JKM untuk datang melihat anak yang hendak diserahkan. Katanya, boleh tengok dulu. Kalau nak teruskan, boleh bawa pulang. Kalau tak berkenan, kena mohon semula. Sebaik melihat wajah comelnya, kami terus bawanya pulang. Dan mulai tanggal 5 Julai 2010, kami pelihara dia sepenuh kasih sayang.
Dan sesungguhnya Allah Maha Berkuasa, selepas tiga bulan kami pelihara anak comel itu, aku disahkan hamil. Dan selepas si adik lahir, si kakak dapat menyusu dengan cukupnya untuk menjadi muhrim buat kami. Ya Allah, sesungguhnya tak kujangka rezeki melimpah ruah begini. Alhamdulillah... Allah telah memenuhkan rumah kami dengan kasih sayang, dan gelak tangis anak-anak amat membahagiakan kami. Syukur Ya Allah...
Selepas setahun bersama dia, aku mula nampak kesan keputusanku ini, kepada orang-orang yang pernah melemparkan soalan tersebut kepadaku. Mereka mula malu sendiri. Malah, ada yang bertanya denganku tentang prosedur pengambilan anak pelihara, kerana mereka pula terbuka hati untuk memohon. Alhamdulillah, tujuan ku berkongsi kisah ini, adalah agar sesiapa yang membaca coretan ini, yang mungkin sedang mempertimbangkan keputusan ini, dapat membuat keputusan yang terbaik. Janganlah dibiarkan kata-kata nista daripada orang lain membuatkan kita memilih untuk tidak berbahagia. Allah lebih tahu...
Comments
Post a Comment