Kasih dan rindu buat anak yang telah pergi..

Assalamualaikum, dah lama rasanya mama tak menulis. Maaf, kesibukan dengan macam-macam urusan dunia.

Hari ni, mama nak kongsi kisah dan pengalaman yang baru berlaku dalam hidup mama. Kisahnya tentang kehilangan anak yang belum sempat menghela nafas di dunia. Tanggal 1 Mei baru-baru ini, mama telah melahirkan anak ketiga pada usia kandungan 20 minggu. Seminggu sebelum itu, mama ke klinik kerana tidak tahan sakit kepala yang berterusan. Doktor yang merawat mama memeriksa sambil bertanyakan keadaan kandungan mama ketika itu. Soalan dari Dr Razman pagi itu, mama jawab dengan spontan.

Doktor: Macamana dengan pergerakan bayi dalam kandungan puan?
Mama: Bayi tak berapa gerak, doktor. Saya pun tak pasti..

Spontan, doktor mencadangkan supaya imbasan ultrasound dijalankan. Hanya Allah yang mengetahui perasaan mama bila melihat imbasan pada skrin tersebut, dan kelihatan tiada sebarang degupan jantung. Doktor sendiri terdiam, dan mencadangkan mama terus ke klinik pakar untuk memastikan keadaan tersebut.

Mama hubungi daddy, dan menunggu giliran di klinik pakar. Hampir setengah hari menunggu di samping ibu-ibu hamil di klinik tersebut. Sememangnya mama ketika itu tidak dapat menahan air mata mengenangkan anak yang belum lahir, sudah pun Allah panggil. Mujur Kak Mi, teman sepejabat datang menemani mama sementara daddy tiba di hospital.

Pertemuan dengan doktor pakar lebih mendebarkan. Walaupun mama telah dimaklumkan oleh Dr Razman sebelum itu, dalam hati tetap berharap terdapat kesilapan dalam imbasan yang pertama. Hati mama sememangnya tidak cukup kuat, akhirnya mama, daddy dan doktor sama-sama menangis melihat imbasan ultrasound kali kedua. Kami terpaksa redha dengan pemergiannya, dan doktor meminta kami menetapkan tarikh untuk melahirkan secara induced labor.

29 April, mama diberi ubat rangsangan untuk membantu mama bersalin. Setelah diberi ubat tersebut, sakit bersalin mula dirasa sedikit demi sedikit. Hati mama gundah memikirkan bagaimana hendak menghadapi sakit bersalin, yang akhirnya tanpa bayi? Mampukah mama kuat menghadapi keadaan tersebut? Mama dapat bayangkan kesakitan melahirkan secara induced kerana sebelum ini, kelahiran Zakwan juga secara induced. Kesakitan bersalin semakin kuat pada hari kedua, namun bukaan serviks masih belum mencukupi untuk melahirkan. Namun, naluri mama kuat merasakan yang bayi akan dilahirkan tidak lama selepas itu. Selepas 27 jam ubat tersebut diberikan, akhirnya bayi sebesar tapak tangan daddy lahir. Alhamdulillah, kesakitan bersalin tidak lama, namun hati mama tidak kuat, mama tidak mampu meminta untuk melihat bayi mama.

Jam 1.20 pagi, akhirnya kesakitan itu berakhir. Tapi kesakitan dalam hati mama, masih belum berakhir. Kesedihan yang mama rasakan, masih ada di hati, walau hingga saat mama menulis post ini. Setelah dibenarkan discaj dari wad, mama dan daddy bawa jenazah bayi ke rumah ibu dan ayah mama. Mama perhatikan daddy mandikan jenazah, kami balutkan jenazah dengan kain putih, dan kami solatkan di ruang tamu rumah. Setelah itu, sama-sama kami kebumikan bayi dengan bantuan ahli keluarga yang lain.

Kini, mama berpantang di rumah, cuba sedaya upaya untuk tidak lagi bersedih. Mujur sahaja, dua orang anak mama sentiasa memenuhi hidup mama. Terima kasih, Balqis dan Zakwan, kerana berada dalm hidup mama. Dan daddy, yang sentiasa menjaga mama dalam apa jua keadaaan. Hanya Allah yang tahu betapa mereka merupakan insan yang sangat penting dalam hidup mama. Dan juga mak, ayah, ummi serta adik-adik yang banyak memberi kekuatan dalam diri mama.

Kini mama faham, bagaimana kita mampu merindui seorang anak yang kita tak pernah sentuh dan lihat keletahnya. Yang tidak pernah kita dengari tangisnya. Moga Allah pelihara anak istimewa kami. InsyaAllah.

Popular Posts