Taska @ Tadika?

Memilih taska untuk anak kecil memang bukan suatu yang bukan mudah. Hari ni, mama nak kongsi kisah mama memilih taska atau tadika untuk anak-anak.

Sewaktu anak masih belum berusia setahun, memang hati mama sangat berat nak tinggalkan anak di taska. Kenapa? Owhs.... Memang mama ada masalah nak percaya orang lain jaga anak mama. Sebelum setahun, memang mama sanggup bersusah payah hantar anak ke rumah mak di Shah Alam. Perjalanan tiap pagi, ambil masa lebih kurang 30-45 minit untuk hantar anak, baru boleh ke pejabat. Takpe, mama sanggup sebab risau dan tak percayakan orang lain menangani anak. Lepas setahun mula pening kepala cari taska, sebab kesian mak nak jaga anak yang dah makin besar. Ok, cukup-cukuplah bebankan orang tua.. :)

Taska pertama kami pilih untuk hantar Balqis, terletak dalam taman kami sendiri. Rumah end lot, suasana simple. Anak-anak kecil dijaga oleh pekerja taska, sambil diawasi oleh tuan punya taska yang tinggal sebelah taska. Alhamdulillah, kami puas hati dengan jagaan di sana. Cuma, kami agak susah hati apabila seorang sahabat baik mama, yang rumahnya di belakang taska tu, selalu dengar anak-anak menangis, pengasuh menjerit dan menjerkah anak-anak. Jadi, ketika mama cuti bersalinkan Zakwan, kami putuskan untuk keluarkan Balqis dari situ. Sebenarnya kami pun tak berapa suka cara pengasuh di situ melayan anak. Gerak meraka agak kasar, jadi hati sentiasa fikir negatif jika anak-anak ada luka sana sini. Walhal, mungkin anak luka sebab lasak bermain dengan kawan. Tapi, hati tetap jahat memikirkan bukan-bukan. Jadi, lebih baik keluarkan sebelum mama dan daddy tambah dosa mengumpat. :p

Kami cari taska lain. Kebetulan ada satu taska baru dibuka di taman ini. Rumah end-lot juga. Tapi taska ni lebih cantik dihias, dicat mengikut kesesuaian sebuah taska. Hati tertarik, ditambah pula yuran jauh lebih murah daripada taska pertama. Memandangkan sekarang bilangan anak dah bertambah, kami setuju untuk hantar anak di sana. Sebenarnya kedua-dua taska ni, belum ada lesen daripada JKM, tapi kami tertarik dengan gaya jagaan di sana. Hati mama, masih risau. Tapi, mama tabahkan hati. Awalnya, kami hantar Balqis sahaja, Zakwan masih kecil, Mak tolong jaga.. Ok, ok.. Mama masih susahkan Mak. Mak yang beriya nak jaga cucu, mungkin sebab risau Zakwan masih bayi. Mak jaga sehingga Zakwan berusia 9 bulan, dan kami pujuk Mak untuk hantar Zakwan ke taska Balqis.

Hanya beberapa bulan Balqis di taska kedua, kami dimaklumkan, taska akan berpindah ke atas lot kedai (masih di taman kami). Risau juga, adakah lot kedai lebih selamat? Namun, itulah syarat daripada JKM, jika taska hendak berdaftar. Alhamdulillah, 2 lot kedai dihubungkan dengan pintu, sememangnya sangat sesuai untuk anak-anak. Kawasan yang luas membolehkan anak-anak bebas bermain walaupun duduk terkurung dalam taska sejak pagi hingga petang. Mama sungguh puas hati dengan taska ini. Semua pengasuh adalah merupakan anak-beranak sahaja, tapi semua sungguh mesra dengan anak-anak. Alhamdulillah hati mama tenang bila anak ke taska.

Awal tahun 2013, mama buat keputusan untuk hantar Balqis ke tadika pula. Kononnya, bercita-cita tinggi melihat Balqis menjadi anak yang pintar, hantar ke tadika montessori islam yang mula menempa nama. Bayaran, mahal. Tapi mama sanggup berkorban untuk anak mama. Walaubagaimanapun, setelah 3 bulan Balqis di tadika tu, mama asyik tak senang hati. Balqis nampak tak gembira, walaupun nampak kemajuan kerana Balqis sudah pandai hafal bacaan dalam solat. Ketara tidak gembira, bila setiap pagi tak mahu ke tadika. Sekali dua, pulang dengan badan luka-luka. Bila ditanya pada gurunya, mereka kata tak tahu pula. Hati mama makin gelisah. Bila ditanya tentang makanan, rupanya mereka menggunakan makanan sejuk beku setiap hari. Mama mula susah hati, bila lihat Balqis tak gembira.

Dalam pertimbangan kami, memang penting bagi kita memberikan peluang untuk anak belajar dan mengasah bakat sejak kecil. Tapi, sekiranya anak tak gembira, adakah itu jalan yang terbaik? Setelah puas berfikir, dan solat istikharah, kami putuskan tadika yang glamor itu bukan tempat terbaik untuk Balqis. Akhirnya, kami keluarkan Balqis dari tadika dan masukkan kembali ke taska. Kini, sudah dua minggu Balqis kembali bersama kawan-kawan lamanya. Balqis kelihatan sangat gembira. Dan demi pelajarannya, kami memilih untuk home-school sahaja. Kami laburkan sedikit wang, untuk menyediakan bahan-bahan bagi pembelajaran di rumah. InsyaAllah, Balqis juga boleh berjaya seperti teman-teman di tadika.

Pesanan buat ibu bapa di luar sana, jangan ambil mudah hal anak-anak kita. Hantar ke tadika yang berprestij, tak bermaksud kita boleh abaikan tanggungjawab kita untuk mendidiknya. Didikan terbaik datang dari rumah. InsyaAllah, anak akan menjadi yang terbaik..

Love you both !!!

Comments

Popular Posts